Pengerusi GPSDK, Mohd. Syafiq Mohamad Fadeli berkata, gerakan tersebut dilaksanakan dalam memenuhi tuntutan agama dengan menjalankan kempen 'Kelantan Cakna Aurat' yang membabitkan lokasi tumpuan di seluruh negeri ini.

“Ahli yang menjalankan kempen hanya memegang poster de­ngan pelbagai mesej dalam memberi peringatan kepada orang ramai agar sama-sama menutup aurat sebagaimana yang dituntut oleh agama Islam.

“Selain itu, kita turut mengedar risalah khusus berkenaan informasi aurat yang diselitkan bersama kisah-kisah menarik tentang kemuliaan individu yang berhijrah ke arah kebaikan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Mohd. Syafiq, setakat ini kempen berkenaan kerap dija­lankan di Kota Bharu dan Pasir Puteh dengan mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita akan memperluaskan usaha ini ke daerah lain dengan mendapat kebenaran PBT terbabit mengenai konsep dan objektif kempen ini. Dakwah secara santai ini cukup berkesan dan mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada masyarakat.

“Kita juga menyampaikan mesej bahawa amalan menutup aurat bukannya anti kepada gaya fesyen terkini. Jangan anggap ianya sebagai kuno kerana fesyen alaf baru masih boleh diguna pakai tetapi keutamaannya adalah tanggungjawab menutup aurat,” katanya.