Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, cuaca panas dan kering di negeri ini setakat ini masih terkawal manakala keadaan sumber air pula belum sampai kepada tahap kritikal.

Kata beliau, selain setiap agensi melaksanakan langkah-langkah bersesuaian bagi menghadapi kemarau, pihaknya merancang untuk mengadakan solat istiqsa bagi memohon kepada Allah SWT supaya menurunkan hujan.

“Kita mintak semua pihak berkenaan ambil perhatian dan laksanakan langkah-langkah perlu mengikut kepakaran masing-masing bagi membantu rakyat yang terjejas seperti petani. Setakat ini, laporan kita terima keadaan belum kritikal.

“Cuma ada tempat-tempat sumber air sudah surut. Kita sebenarnya masih ada sumber air bawah tanah cuma proses untuk bawa keluar dalam jumlah banyak akan memakan masa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar memberitahu, Kelantan disahkan tidak mempunyai sungai yang dicemari sisa kimia toksik sebagaimana yang berlaku di beberapa negeri lain.

Kata beliau, mengikut laporan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa, sungai di Kelantan bukan dalam kategori tercemar, sebaliknya hanya keruh disebabkan pelbagai faktor seperti hakisan tanah, aktiviti mengorek pasir serta kegiatan pertanian

“Sebagai contoh, Sungai Kelantan airnya keruh bermula dari hulu hingga ke kuala.

“Kita ambil perhatian perkara ini dan minta disiasat dan hasil siasatan mendapati istilah ‘cemar’ pada sungai kita ini sebenarnya lebih kepada warnanya yang keruh manakala airnya pula masih selamat diminum,” katanya. - UTUSAN ONLINE