Program tiga hari dua malam itu adalah anjuran persatuan tersebut dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

Presiden PGTF Kelantan, Mohd. Khalilullah Yusof berkata, peserta terdiri daripada 151 pelajar sekolah menengah dan 164 murid sekolah rendah yang berdaftar sebagai ahli Kelab PGTF.

Beliau berkata, kem tersebut diadakan bagi memantapkan ilmu seni mempertahankan diri, membentuk kepemimpinan dan sahsiah, menjana nilai patriotisme berasaskan prinsip Rukun Negara dan yang paling utama mendidik peserta sebagai individu yang ber­amal serta bertakwa.

“Kem ini juga bertujuan me­ningkatkan kekuatan diri secara rohani dan jasmani peserta dalam usaha melengkapkan diri individu sebagai pemimpin yang berkaliber yang kita namakan khalifah.

“Selain itu, kem ini untuk memupuk kecintaan dan istiqamah dengan penghayatan, amalan dan iklim diri pelajar muslim mengikut acuan syariat Islam,” katanya pada majlis penutup kem berke­naan baru-baru ini.

Kem tersebut ditutup oleh Ketua Sektor Psikologi dan kaunseling JPN, Abdul Rasab Mamat.

Mohd. Khalilullah berkata, walaupun taekwondo adalah seni mempertahankan diri yang ‘diimport’ dari luar negara, namun latihan serta pendidikan yang di­terapkan kepada pelajar adalah berasaskan pendekatan nilai hidup setempat bersandarkan disiplin yang digarapkan oleh ajaran Islam.

Menurutnya, pelbagai aktiviti yang dilangsungkan sepanjang kem berkenaan termasuk pendedahan dalam menghadapi cabaran akidah dan ancaman budaya daripada pelbagai aspek dalam persekitaran kehidupan yang terdedah dengan globalisasi maklumat.

“Kami juga turut menjemput pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok untuk menyampaikan ceramah dan pendedahan mengenai pencegahan jenayah dan ancaman penyalahgunaan dadah kepada peserta,” katanya.

Sekolah-sekolah yang menyertai kem ini turut dinilai pemarkahannya untuk dinobatkan sebagai pasukan yang terbaik.

Sekolah Kebangsaan (SK) Tangok muncul sebagai juara bagi sekolah rendah manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Saadong, juara bagi sekolah menegah menerusi aktiviti-aktiviti yang dilangsungkan.