Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, pihaknya bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) merancang akan menempatkan seorang guru di bangunan kelas yang akan dibaik pulih.

Katanya, beberapa buah ba­ngunan terbiar di kampung itu akan dibaik pulih bagi memberi keselesaan dan kemudahan untuk kanak-kanak Orang Asli belajar.

“Setakat ini sebanyak 22 orang murid berumur tujuh hingga sembilan tahun sudah berdaftar untuk mengikuti kelas khas itu.

“Bangunan itu akan dibaik pulih oleh NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan dijangka siap penghujung bulan ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kira-kira 100 murid dari kalangan Orang Asli suku Batek di dua buah kampung di Pos Lebir di sini tercicir dalam pendidikan akibat jarak sekolah yang jauh.

Dua buah kampung terlibat ialah Kampung Kuala Koh dan Kampung Aring 5 yang terletak hampir 100 Kilometer dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi.

Hashim Alang berkata, Jakoa dan JPN tidak pernah mengabaikan Orang Asli dan sentiasa komited membantu kaum pribumi itu.

Katanya, lokasi penempatan masyarakat pribumi itu yang berselerak di kawasan pedalaman menyukarkan anak-anak mereka ke sekolah menyebabkan keciciran terus berlaku.

“JPN juga memberi jaminan untuk menyediakan kelengkapan dan kemudahan asas untuk pembelajaran di kelas khas itu.

“Pihak Jakoa juga tidak mahu kes keciciran dalam pendidikan terus berlaku dan kami akan menyediakan pengangkutan secara harian kepada murid dan pelajar Orang Asli Batek yang bersekolah jauh,” katanya.