Pengurus Besar (Bahagian Pembangunan Modal Insan) ECERDC, Zulkifli Yaacob berkata, golongan pelajar menikmati manfaat menerusi Program Latihan Akademik manakala golongan dewasa pula menerusi Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan.

“Program Empower ECER diperkenalkan buat pertama kali di negeri ini pada 2011 melibatkan daerah Jeli sebelum diper­luaskan ke kawasan lain termasuk Tum­pat, Machang, Gua Musang, Pasir Mas dan Kuala Krai.

“Program ini menyediakan latihan akademik kepada pelajar kurang cemerlang daripada keluarga yang kurang berkemampuan serta menyediakan kemahiran kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) untuk menjadi usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Program Empower ECER Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Machang, di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, program Empower ECER telah berjaya melon­jakkan pencapaian akademik seramai 600 pelajar kurang berkemampuan serta memberi manfaat kepada 200 peserta di jajahan Machang.

“Peserta ini diberikan peluang untuk menyertai kelas vokasional secara percuma seperti jahitan, bakeri dan kulinari serta penyelenggaraan pendingin hawa untuk kenderaan.

“Menerusi program ini, ia membantu meningkatkan pendapatan peserta dengan menjadi usahawan setelah tamat kursus masing-masing,” katanya.