Ketua kumpulan ‘Gi Mekoh Nga Mutor’, Diami Yusoff, 58, berkata, dia bersama dua rakannya, Mohd Zalani Zulkifli, 64 dan Mohamad Fadhli Ab Rashid, 40, bersyukur kerana menerima sokongan padu pelbagai pihak termasuklah kalangan peminat sukan bermotor sendiri.

Terbaru adalah penganjuran Kelantan Bike Week 2018 oleh Kelantan Bikers dengan kerjasama Tourism Malaysia negeri dan Urusetia Belia dan Sukan negeri pada 15 September ini di Stadium Sultan Muhammad Ke IV bertujuan menampung dana kembara mereka.

“Kami akan menggunakan tiga buah motosikal kapcai berkuasa 135cc untuk perjalanan selama dua bulan sejauh 14,000 kilometer.

“Kami bakal merentasi lapan buah negara termasuklah Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi dengan anggaran kos kira-kira RM40,000 setiap seorang.

“Cabaran hebat menanti di India kerana cuaca melampau di sana ditambah laluan bersalji, setakat ini sebahagian urusan visa sudah selesai dan kini kami menumpukan untuk aspek kecergasan dan kesihatan diri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) negeri, Mohd Aidil Afizie Daud; Pengarah Tourism Malaysia negeri, Hafiz Hazin dan Penaung Kelantan Bikers, Rafie Che Mat.

Sementara itu, Rafie berkata, lebih 5,000 peminat sukan motosikal dan penunggang dari seluruh negara dijangka memeriahkan Kelantan Bike Meet 2018 yang menampilkan kelainan antaranya penganjuran pertandingan azan selain cabutan bertuah berupa sebuah motosikal Yamaha 125Z. - UTUSAN ONLINE