Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, bantuan tersebut dibuat mengikut kemampuan memandangkan Kelantan tidak semewah negeri-negeri lain.

"Dalam Islam, kalau mahu sedekah, berilah ikut kemampuan. Kita beri setakat termampu. Lebih baik sedikit daripada tak memberi langsung.

"Untuk permulaan ini kita sumbangkan RM50,000 dulu dan mungkin selepas ini, kalau ada rezeki lebih, kita boleh sumbangkan lagi. Janganlah bandingkan kita dengan negeri lain yang kaya," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 (Kajian Semula) di Dewan Teratai, Kota Darulnaim di sini hari ini.

Selepas Kerajaan Pas Kelantan mengumumkan bantuan segera sebanyak RM50,000 semalam, pelbagai pihak memperlekeh perkara itu dan membandingkan bantuan lebih RM1 juta disalurkan Pulau Pinang kepada Kelantan ketika negeri ini dilanda bah kuning pada 2014. - UTUSAN ONLINE