Warga emas, Nik Sah Wan Abdullah, 68, kini bergelar orang kurang upaya (OKU) selepas kaki hingga ke pangkal paha terpaksa dipotong bagi menghalang jangkitan kuman di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Menurutnya, dia terlantar sejak lima bulan lalu di rumahnya di Kampung Jeram sebelum berpindah ke rumah sewa anaknya, Siti Zaharah Zainudin di Kampung Cherang Tuli, dekat sini.

“Saya memerlukan sedikit bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menampung perbelanjaan membeli lampin pakai buang dan kos rawatan.

“Saya memiliki kad OKU tetapi belum memohon sebarang bantuan. Kini menumpang di rumah anak yang turut menghadapi kekangan kewangan kerana bekerja sendiri tanpa pendapatan yang tetap,” katanya di sini hari ini.

Nik Sah berkata, dia bersyukur walaupun kerana anak-anaknya yang tidak berpendapatan masih terus membantu membeli katil khas dan kerusi roda bagi keselesaannya.

“Kaki saya terpaksa dipotong selepas tidak sedarkan diri dan disahkan menghidap penyakit ken­cing manis tahap kronik,” katanya.

Sementara itu, Siti Zaharah ber­kata, ibunya terpaksa memakai lampin pakai buang kerana sukar untuk bergerak dan menguruskan diri sendiri.

Menurutnya, keluarganya amat berharap JKM akan memberikan bantuan kepada ibunya bagi meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan.

“Emak saya juga terpaksa menjalani rawatan susulan sebanyak empat kali sebulan dan sehingga kini terpaksa membuang air kecil menggunakan wayar khas,” katanya.

Mereka yang sudi membantu boleh menghubungi Siti Zaharah di talian 0182114218 untuk kete­rangan lanjut.