Begitupun, nelayan asing itu adalah tenaga sumber manusia dalam sektor perikanan yang mendapat permit dan memiliki buku pelaut bagi menjalankan kerja-kerja penangkapan ikan di perairan negeri ini selain mendaratkan hasil di pelabuhan tempatan.

Bagaimanapun, kelibat mereka yang sering membanjiri persekitaran kedai makan serta tepi jalan utama Tok Bali-Pasir Puteh menjadi persoalan penduduk se­tempat mengenai had pergerakan mereka selepas mendaratkan hasil dan berlabuh di dermaga berdekatan.

Seorang penduduk, Ismail Mamat, 45, berkata, kehadiran nelayan terbabit merimaskan kera­na sering dilihat mengunjungi kedai makan secara berkumpulan sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

Menurutnya, ada segelintir ne­layan itu masuk ke kampung berhampiran dengan membawa bungkusan plastik berisi ikan untuk ditukarkan dengan buah kelapa muda dan tembikai yang diusahakan penduduk di situ.

“Mereka tidak tahu bertutur bahasa Melayu atau Ingge­ris cuma menggunakan bahasa isyarat. Lebih membimbangkan, ada kumpulan nelayan asing itu masuk ke kampung-kampung untuk menangkap biawak sama ada untuk dimakan atau dibawa balik ke negara mereka.

“Malah penduduk ada men­dakwa tidak lagi melihat kucing-kucing berkeliaran di kawasan Tok Bali kononnya haiwan ini turut ditangkap untuk dijadikan juadah mereka,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Ka­marudin Abdullah, 37, berkata, kerajaan perlu mengkaji semula ke­benaran ke atas nelayan asing menggunakan lesen bot tem­patan bagi mengelak timbulnya masalah sosial kepada masyarakat setempat selain menetili kemungkinan hasil tangkapan bagi ikan gred A dijual di tengah laut tanpa perlu didaratkan di pelabuhan tempatan.

Menurutnya, selain insiden pergaduhan sesama sendiri, budaya yang dibawa oleh kumpulan nelayan itu dikhuatiri menjadi ikutan golongan remaja di situ.