Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pelbagai konflik boleh dielak jika individu mampu mengawal emosi dengan baik dan reda dengan ketentuan serta takdir.

Beliau mengambil contoh kes-kes seperti ibu bapa yang tidak merestui perkahwinan anak dan isteri yang tidak dapat menerima tindakan suami berpoligami sehingga menimbulkan ketegangan.

“Banyak perkara yang kita hadapi setiap hari 80 peratus daripadanya berlegar sekitar emosi, kita tidak boleh terlalu melayan emosi sebaliknya perlu melakukan sesuatu berdasarkan iman.

“Mengapa ada ibu tidak dapat menerima menantu pilihan anak sehingga sanggup mengharamkan susu dan tidak mahu memaafkan padahal perkahwinan sudah tercatat di Luh Mahfuz? Kita perlu sabar berhadapan realiti, Tuhan itu Maha Pengampun jadi kenapa kita hamba tidak mahu mencontohi-Nya.

“Kita kena reda dengan ketetapan Allah, saya sendiri sudah berapa lama mahu kahwin dua tetapi sampai ke hari ini tidak lagi kerana ia tidak tertulis di Luh Mahfuz,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa slot ‘Anda Tanya, Mufti Jawab’ di program Kuliah Bulanan Wanita Sempena Ramadan di Dewan Besar Kompleks Islam Lundang di sini hari ini.

Program tersebut dianjurkan oleh Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan (UPWK) negeri.

Dan dengan kerjasama Jabatan Mufti negeri; Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) negeri dan Persatuan Isteri Wakil Rakyat Kelantan dan Pegawai Kanan Kerajaan (Purnama) itu dihadiri lebih 800 peserta. - UTUSAN ONLINE