A. AZIZ DERAMAN
A. AZIZ DERAMAN 

Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban), Datuk A. Aziz Deraman berkata, pihak seperti Muzium Negeri dan persatuan sejarah perlu lebih berperanan sebagai pemegang taruh dalam memastikan tinggalan sejarah dipelihara untuk tatapan generasi akan datang. 

Beliau berkata, pihak-pihak itu sepatutnya menjadi medium memberi penjelasan mengenai kepentingan tinggalan sejarah dan aspek yang perlu dijaga jika timbul keperluan untuk memindahkannya.

“Sayanglah kalau sejarah negeri tidak dijaga, kita lihat bagaimana masyarakat Patani menjaga kubur ulama dan raja mereka.

“Long Deraman adalah nama besar dalam sejarah tradisi kesultanan Kelantan, kalau betul masih ada batu nisannya kita berharap ia disimpan dengan baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas proses pemindahan atau penempatan semula kubur lama seluas 0.5 hektar di atas Lot 106 dan Lot 21, Jalan Sultanah Zainab di sini melibatkan kira-kira 200 kubur lama.

Utusan Online semalam melaporkan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) telah menjalankan proses pemindahan bermula 1 Oktober lalu sebelum dihentikan pada 1 November sehingga kelmarin disebabkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Pemindahan dilakukan berikutan permohonan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang mahu membangunkan kawasan itu melalui surat pada 2006 dan selepas mendapat maklumbalas Mufti Kelantan mengenai keharusan menukar fungsi tanah kubur, pihak MPKB-BRI mengeluarkan warta kerajaan mengenai pembatalan warta tanah kubur dan ia tidak mendapat bantahan mana-mana pihak.

Sementara itu, sumber mengesahkan bahawa kawasan berkenaan turut dikenali dengan nama Makam Langgar Lama atau Langgar Buruk dan wujud lebih 200 tahun dahulu.

“Salah satu pusara yang ada adalah makam Long Deraman manakala yang lain ada yang terhakis akibat tanah runtuh,” katanya. - UTUSAN ONLINE