Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengarah Kastam negeri, Datuk Mohd. Nasir Yusoff.

Mohd. Nasir berkata, program ini juga merupakan salah satu tanggungjawab korporat sosial (CSR) dalam membantu masyarakat.

“Hari ini, pihak Kastam menyumbangkan 88 kampit beras kepada mangsa di mana setiap keluarga akan menerima empat kampit beras. Kita harap dengan sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban mereka.

“Dalam masa sama, pihak kami juga akan mewujudkan tabung derma kilat bagi sesiapa yang ingin turut sama membantu meringankan beban mereka yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa di sini hari ini.

Yang turut hadir, calon Majlis Pimpinan Pusat PKR, Roslan Ismail dan Penghulu Tanpa Mukim Dun Kota Lama, Sabariah Jamaludin.

Kira-kira pukul 8 malam Sabtu lalu, sebanyak 22 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Dusun Raja, Jalan Sri Cemerlang di sini.

Seramai 30 anggota bomba melibatkan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan Kota Darul Naim terlibat dalam kerja pemadaman api tersebut.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku. - UTUSAN ONLINE