Ibunya yang juga seorang mualaf, Siti Nurarfa Abdullah, 27, berkata, anaknya, Muhammad Aminrudin Mat Reduan, disahkan menghidap penyakit kekurangan enzim G6PD (Glucose-6-phosphate dehydrogenase) dalam sel darah merah sejak lahir.

Penyakit itu dipercayai menyebabkan kulit badannya dipenuhi gelembung cecair yang akhir­nya menjadi kudis.

Siti Nurarfa berkata, keadaan kulit Muhammad Aminrudin semakin teruk selepas dia berhenti mengambil ubat klinik kerajaan untuk anaknya itu dari pertengahan tahun lalu kerana terpaksa menguruskan keperluan arwah suaminya, Mat Reduan Abd. Kadir yang sakit terlantar sebelum meninggal dunia pada Februari lalu.

“Kulit badan anak saya keme­rah-merahan dan dipenuhi gelembung 'air bisa' di bahagian hadapan dan belakang badan yang menyebabkan dia menanggung perit rasa gatal sepanjang masa dan tidak suka memakai baju.

“Apabila tidak tahan gatal, dia akan menggaru tubuh dengan berhati-hati namun kadang-kadang ia menyebabkan kulitnya luka berdarah, dia juga sangat takut jika ada orang duduk rapat atau bersentuhan dengannya ke­rana sakit.

“Saya kasihankan dia tetapi saya tidak dapat membawanya berjumpa doktor pakar kerana masalah masa dan kewangan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Selain Muhammad Aminruddin, ibu tunggal ini mempunyai tiga lagi anak iaitu Siti Nur Amalin Puteri, 9 tahun; Muhammad Amal Putera, 8 tahun dan Nur Aliana Fitri, satu tahun lima bulan.

Siti Nurarfa yang menganut Islam pada 2008 kini bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kubang Kerian sejak beberapa bulan lalu dengan upah antara RM30 hingga RM35 sehari.

Sejak enam bulan lalu, lima beranak ini menumpang di sebuah rumah kecil tanpa bilik di Kampung Darat Demit atas belas ihsan tuan rumah yang memberi mereka tinggal percuma.

“Sebelum ini kami menyewa di rumah sebelah kediaman sekarang tetapi terpaksa berpindah kerana tidak mampu lagi menjelaskan sewa rm250 sebulan,” katanya.

Siti Nurarfa turut membuat kuih untuk menampung perbelanjaan harian keluarga terutama keperluan anaknya ke sekolah.

Sesiapa yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 03003-41-00014912-7 atas nama Siti Nur Amalin Puteri Mat Reduan.