Pengerusinya, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, setakat ini, projek berkenaan masih dalam proses pemilihan tender dan akan disiapkan dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata, pembinaan infrastruktur itu sekali gus boleh membantu menyelesaikan ma­salah bekalan air di kawasan KADA yang membabitkan 28,072 hektar tanah padi di jajahan ini.

“Pembinaan pam baharu ini adalah penambahan untuk pam sedia ada bagi memastikan bekalan air mencukupi bagi tanaman padi dua kali setahun. Dengan pembinaan rumah pam baharu ini juga, bakal membantu 8,000 petani di kawasan terlibat.

“Sekarang kita boleh lihat, masalah air dapat diatasi meskipun ini adalah luar musim kerana kita telah menggunakan pam rendah yang sedia ada di Kemubu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Gerakan Gelombang Tani Nasional (GTN) peringkat KADA kawasan Kota Bharu utara di Kampung Talang di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Badrulhisham Muhammad; Se­tiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras kementerian, Samsuddin Ismail dan Timbalan Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.

Pada majlis tersebut, kira-kira 500 petani, pegawai KADA dan agensi kementerian seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bergotong-royong membersihkan kawasan tali air sekitar Kampung Talang, selain mengadakan aktiviti sukaneka.

Md. Alwi berkata, program tersebut adalah permulaan GTN ke seluruh kawasan KADA bagi mendidik petani supaya menjaga kemudahan infrastruktur yang disediakan kerajaan.

“Kerajaan ada tugas dia, rakyat ada tugas dia, contohnya kerajaan buat jalan, sedia infrastruktur, jadi tanggungjawab petani jaga kemudahan ini, macam lalang, sampah sarap kena jaga kawasan tanaman, barulah prasarana yang diberi terjaga,” katanya.