Pemangku Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris berkata, pembenihan awan itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Kelantan melalui Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani.

Katanya, usaha itu untuk membantu pesawah mengatasi masalah bekalan air melibatkan tiga daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh dan Bachok dengan jumlah keluasan 6,000 hektar.

“Cuaca panas yang melanda Kelantan sejak Februari lalu telah menyebabkan tanaman kawasan kendalian KADA kekurangan air dan akan menyebabkan tanaman padi musnah.

“Proses pembenihan awan ini diharapkan berlakunya hujan untuk membantu pesawah dalam mengurangkan kerugian yang ditanggung mereka,” katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau operasi pembenihan awan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Meteorologi negeri, Rabiah Zakaria.

Nik Roslan berkata, selain pembenihan awan, pihaknya juga mengambil beberapa tindakan segera bagi mengatasi masalah kemarau

melibatkan keseluruhan 26,833 hektar sawah padi di kawasan KADA.

Katanya, tindakan itu adalah membekalkan 242 pam mudah alih dan 200 ‘backward pump’, serta membina 300 unit telaga tiub bagi membantu pesawah mengairi kawasan sawah mereka.

“Piahak KADA telah membelanjakan lebih RM1 juta untuk membantu pesawah mengatasi masalah ini,” ujarnya,

Sementara itu, Rabiah berkata, Jabatan Meteorologi negeri ini memperuntukan kira-kira RM30,000 bagi menampung kos setiap kali penerbangan ketika proses pembenihan awan dilakukan.

“Perancangan pihak kami akan melakukan proses pembenihan awan ini selama lima hari tetapi ianya bergantung kepada keadaan awan, cuaca serta permintaan daripada KADA,” katanya. - UTUSAN ONLINE