Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, usaha itu perlu bagi mengatasi masalah tanaman padi yang terjejas akibat musim kemarau.

Beliau berkata, kawasan padi seluas 7,740 hektar melibatkan 2,500 pesawah atau satu pertiga daripada keseluruhan 26,833 hektar kawasan padi KADA mengalami masalah bekalan air.

“Kita sudah menerima surat daripada Jabatan Meteorologi dan pada minggu ini akan melihat kesesuaian awan untuk membuat pembenihan.

“Pihak kementerian khususnya Ketua Setiausaha, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan sudah turun padang sejak sebulan lalu dan inisiatif pantas yang diambil adalah seperti penyediaan pam termasuk pam mudah alih, ‘backward pump’ dan juga ‘boring’.

“Setakat ini kita sudah ada 300 buah pam yang beroperasi di seluruh kawasan KADA,”katanya di majlis taklimat dan pelantikan Pengerusi KADA yang baharu di ibu pejabat KADA di sini hari ini.

Pada majlis itu, Senator Datuk Husam Musa telah diumum sebagai Pengerusi KADA berkuatkuasa 1 Mac lalu.

Mengenai kerugian yang dialami pesawah, Salahuddin berkata, pihaknya akan melihat pada musim menuai ini sejauh mana kerugian dialami bagi menentukan bantuan yang boleh diberikan. - UTUSAN ONLINE