Pengerusi KADA, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, setakat ini sebanyak 10 Agrobazaar telah siap dibina dengan manakala baki 15 lagi masih sedang dikenal pasti lokasi.

Kata beliau, proses mewujudkan Agrobazaar berkenaan dijangka selesai sepenuhnya menje­lang hujung tahun ini.

“Agrobazaar merupakan pre­mis yang menjalankan perniagaan barangan basah dan kering terus daripada petani. Sehubu­ngan itu, barangan di Agrobazaar ini jauh lebih murah berbanding di tempat lain.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita bekerjasama de­ngan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam memastikan produk dihasilkan petani tidak dijual melalui orang tengah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita se­lepas menghadiri Majlis Bica­ra Tokoh Bersama Pemimpin Ma­syarakat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Che Omar.

Terdahulu ketika berucap Md. Alwi berkata, kira-kira 1,300 war­ga UMK yang memiliki kepakaran dalam pengurusan keusa­hawanan dialu-alukan turun pa­dang untuk mengubah minda penduduk kampung yang sebahagian besar tidak minat menjadi usahawan.