Jenis makanan ini amat ringkas iaitu dimakan bersama gulai ikan tongkol, ayam dan daging serta sambal. Keunikannya tahan lama sehingga 12 jam tanpa menjejaskan rasa.

Dikatakan sejak tahun 2012, nasi berlauk khususnya dari dua kampung di Tumpat iaitu Air Dingin dan Kampung Berangan telah menjadi fenomena dan diedarkan ke seluruh negara sehingga ada antara pengusaha terbabit menjadi jutawan.

Wartawan Utusan Malaysia, ASMA HANIM MAHMOOD dan jurugambar, SHIDDIIQIN ZON mengikuti rantaian industri nasi berlauk Kelantan ini yang telah mewujudkan peluang pekerjaan baharu dengan pulangan lumayan.
 

KOTA BHARU 4 Dis.  -  Perniagaan nasi berlauk nampak ‘remeh’ dan kecil di warung-warung atau di bawah payung di tepi jalan tetapi hakikat sebenarnya industri tersebut memberi pulangan amat luar biasa malah ada antara mereka kini bergelar jutawan walaupun pada era ekonomi yang mencabar ini. 

Malah industri tersebut juga mempunyai rantaian pengedaran yang memberi peluang kepada banyak pihak untuk mendapatkan limpahan rezeki yang lumayan dan bukan hanya kepada pengusaha sahaja.

Keunikan nasi berlauk ialah dimasak di negeri ini tetapi diedarkan ke seluruh Semenanjung Malaysia sehingga jarak lebih 500 kilometer. keba­nyakan pe­niaga menggunakan jalan darat agar nasi lambat basi.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) negeri, Mohd. Ali Amin Ab, Latiff berkata, nasi yang disediakan untuk jualan khususnya nasi berlauk bukan lagi untuk pasaran tempatan malah hingga ke luar negeri ini.

“Hasil daripada pemerhatian kita mendapati ada beberapa pengusaha menyediakan antara 3,000 bungkus dan 15,000 bungkus nasi setiap hari sama ada dijual terus kepada pelanggan ataupun secara borong kepada peniaga kecil, jadi tidak pelik jika ada antara mereka sudah bergelar jutawan.

“Malah ada pengusaha menghantar sebanyak 5,000 bungkus nasi berlauk setiap hari ke Se­langor dan Kuala Lumpur kerana pasaran yang tinggi di sana,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan pengusaha tersebut masih mengekalkan cara tradisional dan berahsia daripada mendedahkan jumlah sebenar nasi berlauk yang diedarkan pada setiap hari serta ada antara mereka enggan ditemubual ke­rana bimbang implikasi lain.

Mohd Ali Amin berkata, sehingga kini terdapat hampir 20 pengusaha nasi berlauk yang menjadi ahli DPMM negeri dan perniagaan mereka antara yang paling stabil pada zaman ekonomi yang mencabar ini.

Katanya, perniagaan nasi berlauk juga setaraf makanan segera yang dijual 24 jam setiap hari dan turut memberi peluang khususnya kepada anak muda beroleh pendapatan lumayan dengan hanya menjual di tepi jalan.

Sementara itu, seorang usahawan yang juga penyelidik sosial, Wan Izzudin Sulaiman pula berkata, dia percaya ‘industri’ nasi berlauk melibatkan aliran tunai hampir RM1 bilion setahun kerana perniagaan tersebut bukan lagi tertumpu pasaran di negeri ini sahaja.

Katanya, harga nasi berlauk yang mempunyai jenama terkenal dijual dengan harga RM3 atau RM4 di sini tetapi mencecah sehingga RM7 sebungkus di pasaran luar terutama Lembah Kelang.

“Kelantan adalah negeri pengeluar nasi berlauk terbesar di dunia. Jika separuh dari penduduk negeri ini membeli nasi berlauk setiap hari, maka saiz industri ini di negeri ini sahaja sudah melebihi RM700 juta ringgit setahun.

“Perniagaan ini memberi keuntungan bukan sahaja kepada pengusaha sendiri bahkan pembekal bahan mentah dan juga penjual yang beroleh margin keuntungan tinggi antara RM1 hingga RM2 bagi setiap bungkus nasi,” katanya.