Duku Terengganu yang menjadi buah pengenalan negeri itu dengan tagline ‘nikmat rasa duku sebenar’ dijual kepada orang ramai pada harga RM10 bagi setiap tiga kilogram, jauh lebih rendah berbanding harga pasaran semasa iaitu sekitar RM5 sekilogram.

Pengarah FAMA Kelantan, Mohd. Ariffin Awang berkata, jualan tersebut merupakan salah satu inisiatif pihaknya dalam mempromosi dan memasarkan duku Terengganu sekali gus mengelak berlaku lambakan buah selain menjamin kestabilan harganya.

Kata beliau, setakat ini, Fama telah memasarkan lebih 200 tan duku Terengganu di seluruh negara dan daripada jumlah itu, kira-kira 10 tan buah tersebut telah dibawa masuk ke negeri ini.

“Musim duku Terengganu ini dijangka berterusan dalam dua atau tiga minggu lagi. Jadi selagi ada musim, gerai jualan buah ini akan dibuka setiap malam di Dataran Bandaraya.

“Dianggarkan terdapat kira-kira 100 tan lagi duku Terengganu di ladang pengeluarnya dan sebaik sahaja ada bekalan baharu, kita pastikan sebahagian daripada buah itu diagihkan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program ramah mesra dan promosi duku Terengganu bersama pengamal media di Medan Warisan Makanan Kelantan, Dataran Bandaraya, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.

Sementara itu, Md. Anizam berkata, jualan duku Terengganu diharap dapat memeriahkan lagi suasana Medan Warisan Makanan Kelantan yang baru dibuka sejak sebulan lalu.

“Medan ini yang dibuka setiap malam adalah tarikan pelancongan terbaharu di Kelantan dan setakat ini terdapat 40 gerai serta trak makanan yang menjual pelbagai makanan tradisi.

“Medan ini merupakan inisiatif bersama MPKB-BRI dengan pihak Fama bagi menghidupkan suasana malam bandar Kota Bharu serta membantu para peniaga meningkatkan hasil jualan,” katanya. - UTUSAN ONLINE