Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Jeram Tekoh, Fauzi Awang berkata, sejak RKT itu dibuka lebih 30 tahun lalu, kejadian banjir kilat yang dianggap luar biasa itu tidak pernah berlaku.

Namun kini katanya, penduduk hidup dalam kebimbingan sekiranya hujan lebat berterusan lebih lima jam kerana air Sungai Cheweh yang terletak di penempatan mereka akan melimpah ke tebing dan menenggelamkan rumah mereka.

“Kebanyakan peneroka yang tinggal di kawasan rendah sudah tidak tahan dengan keadaan banjir kilat kerana banyak harta benda musnah.

“Setiap kali kejadian banjir kilat berlaku, kami juga tidak sempat mengemas barang kerana ia berlaku dalam masa yang cepat.

“Kami merasakan mungkin ada sesuatu yang menghalang aliran sungai berkenaan kerana air cepat melimpahi tebing hingga mencemaskan peneroka,” katanya di sini hari ini.

Menurut Fauzi, mereka terpaksa berhadapan dengan dua banjir kilat dalam tempoh sebulan pada Disember lalu.

Katanya, kebanyakan peneroka juga terpaksa membina tempat khas lebih tinggi dalam rumah mereka untuk menyimpan barangan seperti tilam, bantal, pakaian dan dokumen penting.

“Selain itu, kami juga turut membina bangsal di atas kawasan berbukit sebagai tempat pemindahan sekiranya dilanda bencana itu.

“Saya juga turut membuat tempat khas itu kerana tidak tahan barangan rumah rosak setiap kali ditenggelami air berselut,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian, Tuan Mustapha Tuan Soh ketika ditemui semasa meninjau keadaan sungai di kawasan itu berkata, beliau akan berbincang masalah terbabit de­ngan JPS.

“Saya juga pelik kerana sema­kin kerap banjir kilat di kawasan ini berlaku sehingga mencemaskan keluarga peneroka.

“Saya sudah meninjau ke­adaan Sungai Cheweh dan mungkin airnya yang cetek menyebabkannya cepat melimpahi tebing apabila hujan lebat,” katanya.