Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Abdullah Mat berkata, langkah itu diambil selepas pihaknya mendapati sebanyak 62 buah atau 22 peratus daripada 279 pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di negeri ini berisiko ditenggelami air.

Beliau berkata, melalui kerjasama strategik bersama pelbagai agensi seperti bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pihaknya berharap tidak ada pelajar yang tercicir daripada menjalani dua peperiksaan besar itu yang bermula hari ini.

“Kita telah mengadakan mesyuarat Op Payung pada 21 Oktober lalu membincang pelbagai agenda seperti langkah membawa pelajar yang terkandas akibat banjir ke pusat peperiksaan.

“Calon peperiksaan yang menjadi mangsa banjir dan berada di pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan kita bawa ke asrama sekolah lain yang berdekatan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh hari ini.

SEBAHAGIAN daripada calon
SEBAHAGIAN daripada 163 calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) membaca nota sebelum memasuki dewan peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN ONLINE/ASMA HANIM MAHMOOD

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Sektor Penilaian dan Peperiksaan JPN Kelantan, Mohd Amin Yusoff dan Pengetua sekolah, Mohd Zin Halim.

Abdullah berkata, daripada 15 pusat peperiksaan gantian yang dikenalpasti, 10 buah adalah di Kota Bharu, dua di Pasir Mas dan masing-masing satu di Jeli, Tumpat dan Gua Musang.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 29,818 calon peperiksaan SPM dan 14,793 calon peperiksaan STPM dari negeri ini menduduki peperiksaan tersebut tahun ini.

“Kita berharap dapat meningkatkan peratus pelajar lulus atau layak dapat sijil bagi SPM daripada 87 peratus tahun lalu kepada 90 peratus tahun ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE