Esah Yusoff, 77, yang tinggal berseorangan di rumahnya ketika itu bergegas keluar dari rumah­nya apabila terdengar je­ritan meminta tolong daripada jirannya.

“Masa itu mak cik sudah mendengar jiran-jiran menjerit 'api..api..' dan salah seorang mang­sa terus menghubungi bomba.

“Masa bunyi dentuman kuat itu, mak cik rasa mungkin ada orang cuba hendak mencuri kabel eletrik di sebuah rumah kosong di sebelah sebab macam ada benda jatuh,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kira-kira pukul 8 malam semalam, sebanyak 20 rumah musnah dalam kebakaran di sini.

Seramai 30 anggota bomba melibatkan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan Kota Darul Naim bergegas ke tempat kejadian.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku.

Sementara itu, ibu kepada tiga anak, Norlaila Yusof, 31, berkata, ketika kejadian, dia tidak sempat menyelamatkan barang penting kerana memikirkan keselamatan anak-anaknya.

“Masa itu api dah nampak besar dari rumah lain dan saya terus membawa anak-anak keluar. Saya juga hanya keluar sehelai sepinggang kerana tidak sempat membawa barang peribadi lain keluar dari rumah,” luahnya.