Ketua Program berkenaan, Azmi Husin berkata, sebanyak 30 anggota kariah masjid tersebut meluangkan masa selama empat hari baru-baru ini menjelajah beberapa buah pondok sekitar negeri Kedah dan selatan Thailand.

Beliau berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan, pengalaman dan peluang menimba ilmu penge­tahuan kepada ahli kariah yang terlibat selain berkesempatan berkongsi idea mengenai kepen­tingan Islam sejagat.

“Hasil yang diperoleh ialah rapatnya hubungan ukhuwah Islamiah antara peserta dengan warga pondok yang dikunjungi selain dapat mengetahui peranan dimainkan pelbagai institusi pondok di negara ini dan di negara jiran.

“Kembara ini juga bertujuan mewujudkan masyarakat harmoni dengan aktiviti berfaedah di samping menarik minat masyarakat mendekati masjid. Malah, usaha sebegini membuka ruang kepada kami untuk me­nghulurkan sumbangan dan bantuan terutama dalam membangunkan aktiviti pusat pengajian pondok,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Antara lokasi diziarahi ialah Pondok Darul Hidayah, Kedah; Solihudin School Ratbamrung Road, Songkla; Masjid Kampung Plat Nongcik, Pattani; Madrasah Darul Aman, Krong Pinang dan masjid Teluk Manak di Narathiwat yang berusia lebih 300 tahun.

Azmi yang juga Imam Muda masjid berkenaan berkata, sesi taklimat, tazkirah dan perkongsian ilmu bersama pelajar serta guru pondok menyuntik semangat mereka untuk terus bersama-sama meningkatkan usaha berdakwah.

Katanya, setiap persinggahan dan ziarah kita penuhi dengan pengisian majlis ilmu, menyampaikan tazkirah dan bertemu mesra atas konteks persaudaraan Islam.

‘Cabaran yang paling besar institusi pondok adalah ketabahan mereka yang terpaksa berdikari mengerah keringat mencari dana bagi menampung keperluan pengurusan, pembangunan dan penyampaian ilmu.

“Kita juga membawa sedikit sumbangan kitab, naskhah al-Quran dan kewangan untuk disumbangkan bagi tabung pembangunan pondok,” katanya.