Pengarah Bomba negeri, Naz­ili Mahmood berkata, pihaknya mempunyai kekuatan sebanyak 450 anggota bomba yang akan bertugas di seluruh negeri ini termasuk pasukan yang melakukan rondaan di jalan raya.

Beliau berkata, terdapat 17 jentera bomba digunakan dalam Ops Ronda Raya dan pihaknya akan menumpukan kepada kawasan yang selalu berlaku kes kemala­ngan.

“Kita meningkatkan pemantauan di jalan-jalan utama ma­suk ke negeri Kelantan kerana sebagaimana diketahui ramai perantau akan pulang ke kampung.

“Kita menempatkan anggota kita di lokasi-lokasi strategik untuk melakukan rondaan malah di kawasan bandar pasukan kita akan menggunakan motosikal gerak cepat supaya dapat bertindak segera jika berlaku sebarang kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Menghapus Bahaya Kebakaran Musim Perayaan dan Penyediaan Bubur Lambuk di Hotel Perdana, di sini kelmarin.

Pada majlis itu, pihak JBPM negeri dan Hotel Perdana telah bekerjasama menyediakan 3,000 bungkus bubur lambuk dan kuih 'butir nangka' kepada pengguna jalan raya.

Yang turut hadir, Penolong Pe­ngurus Eksekutif Hotel Perdana, Amer Ahmad.

Sementara itu, Nazili berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan keselamatan kebakaran ke atas 40 daripada 95 premis tumpuan ramai sejak operasi bermula 17 Mei lalu.

“Baki 55 buah premis lagi akan diperiksa sebelum tiba Syawal minggu hadapan, kita menumpukan kepada pasar raya, hotel dan restoran kerana tempat-tempat ini mempunyai kunjungan ramai.

“Pengusaha pasar raya um­pamanya terlalu leka membuat promosi dengan meletakkan barang jualan atas tangga premis yang boleh menghalang laluan keluar jika berlaku kebakaran, ada juga yang menggantung kain rentang sehingga melitupi sistem perenjis air,” katanya.

Tambahnya, pengusaha pre­mis yang tidak mematuhi peraturan keselamatan boleh dikenakan kompaun di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.