Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan rasmi berhubung kejadian berkenaan.

“Waktu itu, hujan terlalu lebat dan di luar jangkaan kerana di sini sudah lama tidak hujan.

“Semua pihak sudah mengambil langkah tertentu, jadi jangan salahkan mana-mana pihak berhubung kejadian ini. Apa yang penting kita mencari punca untuk atasinya bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Pemilikan Food Truck di Perkarangan Pasar Besar Siti Khadijah di sini hari ini.

Pada 7 Mei lalu, bandar Kota Bharu termasuk kawasan tempat letak kereta di Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kota Bharu dilanda banjir kilat selepas air longkang melimpah ekoran hujan lebat.

Akibat limpahan air berkenaan, beberapa buah motosikal dan kereta yang diletakkan di situ turut ditenggelami air.- UTUSAN ONLINE