Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pernikahan itu merupakan kes terpencil dan semua pihak terutama golongan bukan Islam diharap tidak mudah menghukum atau memandang serong terhadap Islam.

Katanya, dalam Islam, terdapat garis panduan tertentu dan pernikahan perlu dielakkan selagi mana individu berkenaan tidak memahami soal tanggungjawab atau hak sebagai suami dan isteri.

“Ini bukan soal (ajaran) Islam, ini isu individu dan kes ini terpencil. Jangan hanya kerana satu dua kes seumpama ini, kita meletak beban kepada Islam itu sendiri.

“Selain itu kita di Malaysia sudah ada peraturan sendiri. Perlu tengok perincian kes ini bagaimana, mereka berkahwin di luar negara.

“Sekarang berapa ramai pula rakyat Malaysia berkahwin di luar negara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), di sini hari ini.

Perkahwinan kanak-kanak itu yang hanya dikenali sebagai Ayu, dengan seorang peraih getah, Che Abdul Karim Che Hamid pada 4 Syawal lalu, tular di media sosial beberapa hari lalu dan mengundang kemarahan orang ramai.

Isu tersebut sedikit sebanyak membuatkan golongan bukan Islam salah faham terhadap hukum pernikahan dalam Islam. - UTUSAN ONLINE