Seorang bekas tentera British, Ayub Mohamad, 73, dari Pengkalan Chepa berkata, dia sangat berbangga dengan perubahan yang berlaku ke atas orang Melayu sehingga mampu bersaing dan menjadi golongan profesional sama seperti kaum lain.

Ayub yang pernah berkhidmat dalam Singapore Guard Regiment (SGR) yang merupakan sebahagian daripada rejimen tentera Bri­tish berkata, segala kenikmatan yang ada kini adalah jerit perih dan hasil usaha pemimpin dahulu kepada bangsa, agama dan negara.

“Kita kena ingat kepada orang-orang yang berusaha melonjakkan orang Melayu dan rakyat seluruhnya selepas merdeka sehingga kita menjadi seperti hari ini. Pengalaman semasa saya menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2011 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), saya rasa sangat bangga kerana pakar bedah yang terlibat adalah orang Melayu.

“Dahulu mana ada, hanya ada doktor Inggeris yang boleh buang ‘risa’ dari tangan saya semasa remaja dulu, yang buang nanah bawah leher pula doktor India dan yang buang batu hempedu pula doktor Cina,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ayub berkarya sepenuh masa sebagai pelukis di kedainya di Kampung Kraftangan di sini sejak 2001 dan merupakan antara karyawan tersohor terutama dalam penghasilan lukisan berasaskan minyak.

Selepas berkhidmat dalam SGR dari tahun 1964 hingga 1970, Ayub kembali ke Kelantan dan bekerja dengan sebuah syarikat terkemuka sebelum bersara pada tahun 2000.

Menurut Ayub, dia menyertai SGR dan berkhidmat di unit infantri di mana tugas mereka adalah untuk mengawal kawasan-kawasan strategik di Singapura khususnya yang melibatkan pusat komunikasi.

“Saya menyertai SGR ketika berumur 19 tahun dan layak ke­rana ada kemahiran Bahasa Inggeris, dahulu saya bersekolah di Islah English School di Jalan Pengkalan Chepa dan lulus Lower Certificate Examination (LCE). Ketika itu berlaku konfrontasi dengan Indonesia dan tentera British merekrut ramai anak muda khususnya orang Melayu untuk menyertai mereka.

“Tugas menjaga keselamatan di Singapura penting ketika itu kerana ia menempatkan radar dan kelengkapan ketenteraan yang diperlukan dalam mengha­dapi tentera Indonesia yang menceroboh Malaysia,” katanya.

Tambahnya, salah satu pengajaran penting yang diperolehnya sepanjang bergelar tentera adalah perlunya pertahanan negara yang kukuh.

“Aspek pertahanan negara sa­ngat penting, kita wajib perkasa dan perkuatkan benteng negara daripada ancaman musuh, kita mesti mempunyai kelengkapan ketenteraan terbaik terutama bagi mengawal kawasan laut kita yang lebih luas dari Filipina,” katanya.