Pengarah Perikanan negeri, Anuar Salam Sulaiman berkata, kegiatan menunda terutama udang di kawasan kurang dua batu nautika dari pantai sering berlaku pada musim tengkujuh walaupun nelayan sedar ia mengancam kawasan pembiakan sumber hidupan laut.

Beliau berkata, pihaknya hanya membenarkan bot-bot tertentu menggunakan pukat tunda khusus pada musim tengkujuh bermula dari bulan November hingga Mac setiap tahun dan pada musim ini, hanya 16 lesen dikeluarkan iaitu dua di Bachok, empat di Kota Bharu dan 10 di Tumpat.

“Kita benarkan hanya kepada 16 pemilik bot ini sahaja menunda dengan jarak minimum dua batu nautika dari pantai iaitu mereka tidak dibenarkan lebih dekat dalam tempoh operasi dari November hingga Mac sahaja.

“Selepas itu mereka tidak dibenarkan lagi menggunakan pukat tunda, mereka kena guna peralatan asal mereka iaitu pancing dan bubu,” katanya kepada Utusan Malaysia di Pangkalan Perlindu­ngan Sumber Perikanan Tawang, di sini semalam.

Sementara itu, Anuar Salam berkata, sebanyak lima buah vesel termasuk sampan gentian ditahan dalam satu operasi pagi semalam ke­rana menceroboh dan menggunakan pukat tunda di kawasan dilindungi.

Beliau berkata, pihaknya me­lakukan operasi mengejut bermula pukul 6.30 pagi hingga 10 pagi dan menahan vesel tersebut di tiga lokasi di Pasir Puteh iaitu di kuala Sungai Gali, Pantai Tok Bali dan Pantai Semerak hasil aduan penduduk.

“Kesemua vesel tempatan itu yang dikendalikan 15 nelayan berusia antara 20 hingga 50 tahun sebenarnya hanya mempunyai lesen pukat hanyut, pancing, bubu atau rawai tetapi mengubah suai peralatan mereka untuk menggunakan pukat tunda.

“Pemilik bot bakal dikenakan kompaun minimum RM500 selain pukat tunda dirampas di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat lesen kerana menggunakan peralatan tidak dibenarkan,” katanya.