Ketua Seksyen Kepengunaan KPDNHEP negeri, Muhammad Hanif Ahmad berkata, bekalan barangan keperluan sepanjang tempoh musim tengkujuh kali ini dijamin mencukupi dan mampu memenuhi permintaan rakyat.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan pemborong dan pembekal di negeri ini bagi memastikan stok bekalan mampu menampung permintaan masyarakat.

“Jadi nasihat saya, jangan membuat pembelian panik. Simpanan stok kita cukup untuk memenuhi permintaan sepanjang musim banjir tahun ini.

“Pembekal dan pemborong sudah memberikan jaminan untuk menghantar bekalan makanan sekiranya diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita pada Majlis Perasmian Kempen Harga Patut (KHP) Negeri Kelantan 2018 di Perkarangan Pantai Timur Mart, Lubok Jong di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, KPDNHEP dengan kerjasama Pasar Raya Pantai Timur Mart, Lubok Jong turut mengagihkan sumbangan beg sekolah kepada pelajar kurang berkemampuan dari kawasan sekitar.

Muhammad Hanif memberitahu, pihaknya merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan dengan kerjasama pasar raya bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang murah. 

Katanya, program tersebut akan terus diperluaskan ke seluruh negeri bagi memastikan semua rakyat mendapat manfaat tersebut. - UTUSAN ONLINE