Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman berkata, projek itu akan mena­matkan penderitaan penggu­na laluan tersebut setiap kali mu­sim tengkujuh.

“Ini adalah laluan utama dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur tetapi setiap kali musim tengkujuh jalan ini akan dinaiki air sehingga terputus hubungan.

“Oleh sebab itu, Kerajaan Pusat memandang berat masalah ini dan meluluskan peruntukan untuk membina jambatan ini supaya jalan tersebut tidak di­tenggelami air lagi,” katanya selepas merasmikan majlis Agihan Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2018 Parlimen Kuala Krai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra (1) di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Krai, Sazali Ibrahim.

Sementara itu, Ramzi yang juga Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Dabong berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1,069,500 bagi bantuan awal persekolahan pelajar untuk 10,695 pelajar di 41 buah sekolah di seluruh kawasan Parlimen Kuala Krai.

“Kita harap dengan bantuan ini dapat meringankan beban murid dan pelajar khususnya dalam aspek pembelajaran dan ia menunjukkan kecaknaan kerajaan untuk menjaga kebajikan setiap pelajar yang kurang berkemampuan.

“Bantuan ini merupakan salah satu daripada usaha kerajaan yang dilakukan secara berterusan untuk membantu rakyat di seluruh negara,” ujarnya.