Jambatan sementara itu teng­gelam mulai pukul 5 pagi ini apabila hujan lebat berterusan sejak pukul 4 petang semalam.

Seorang penduduk, Muha­mad Fadir Harun, 34, berkata, jambatan sementara berkenaan buat pertama kali boleh dilalui sejak pukul 6 pagi kelmarin walaupun belum siap sepenuhnya.

Katanya, sebelum ini jambatan tersebut rosak teruk akibat arus deras sungai dan tidak boleh dilalui semua kenderaan.

“Penduduk juga sudah lali dengan masalah itu dan dalam lima bulan pertama tahun ini juga sudah lebih 10 kali jamba­tan itu ditenggelami air sungai,” kata­nya.

Seorang lagi penduduk, Saudah Hashim, 40, pula berkata, jambatan yang sepatutnya dibuka secara rasmi minggu depan, akan rosak semula apabila sisa kayu melekat setiap kali hujan lebat.

“Namun, mungkin ditangguhkan lebih lama lagi kerana kerja membaik pulih terpaksa disambung lagi.

“Selagi jambatan konkrit belum siap, maka penduduk akan berdepan dengan masalah perhubungan terutama pengguna Jalan Gua Musang-Jeli,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Ab. Ghani berkata, jambatan sementara yang dalam kerja membaik pulih itu sudah menelan belanja yang banyak iaitu RM400,000.

Katanya, setiap kali jambatan tenggelam mesti berlaku kerosakan dan perlu dibaik pulih sehingga memakan masa yang lama.