Rahim, 52, yang lebih mesra dengan panggilan Pok Su Mie, begitu cekap memasukkan benang ke dalam lubang jarum menggunakan jari-jari kaki, suatu kemahiran yang dilakukannya sejak lebih 30 tahun lepas.

Bukan sahaja menjahit, dia yang hanya mempunyai dua jari di bahu kanan, turut menggunakan kedua-dua belah kaki­nya untuk melakukan rutin seharian seperti menjawab telefon dan memandu kereta.

Meskipun kelihatan pelik di mata orang lain namun bagi yang biasa melihatnya, perkara itu sudah menjadi lumrah dan semua pelanggan Pok Su Mie tahu mengenainya.

“Semua urusan memotong kain dan menjahit saya lakukan menggunakan kaki dan setakat ini semua pelanggan nampak­nya berpuas hati.

“Sebenarnya kemahiran men­jahit ini saya pelajari di Pusat Pemulihan Orang Kelainan Upaya, Cheras, Kuala Lumpur 30 tahun lalu dan sehingga kini kemahiran itulah saya gunakan untuk menyara keluarga,” katanya yang mempunyai seorang isteri, Noraishah Hamzah, 44, dan tiga orang anak yang masih bersekolah.

Rahim berkata, dia sebelum ini mengusahakan ternakan itik telur namun kesemuanya musnah selepas dilanda banjir besar pada 2014.

“Dahulu saya mempunyai beribu-ribu ekor itik dan dipelihara berdekatan rumah namun banyak yang mati dan hilang selepas banjir.

“Saya kini merancang untuk membina kembali perusahaan itu dengan bantuan pelbagai pihak. Sekiranya ada rezeki saya juga berminat untuk memelihara haiwan lain seperti lembu atau kambing,” katanya di sini semalam.

Mengulas mengenai kerjaya sebagai tukang jahit, Rahim berkata, dia mengambil tempahan baju Melayu, pakaian wanita serta menjahit seluar jeans.

“Saya mampu menghasilkan sepasang baju Melayu atau kemeja dalam masa sehari de­ngan upah RM90 selain menjahit ju­bah wanita dan membaiki seluar jeans serendah RM5,” katanya yang turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM400 sebulan. – BERNAMA