Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), Mohd. Anis Hussin berkata, sikap segelintir pengunjung yang membuang bungkusan makanan dan minuman di tempat yang tidak sepatutnya amat dikesali.

“Lebih baik sekiranya mereka tidak menjadikan kawasan itu sebagai tempat berkelah bersama keluarga dengan membawa bekalan makanan terutamanya pada hujung minggu.

“Sebaliknya laluan dan dataran di kawasan itu sesuai sebagai medan untuk menjalankan aktiviti lain. Beberapa tong sampah disediakan untuk membuang sampah namun masih ramai yang membuang sampah di merata-rata tempat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, taman itu sentiasa dipantau oleh petugas pembersihan dan penyelenggaraan bagi memastikan pemandangan kawasan itu sentiasa cantik.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di lokasi tersebut mendapati terdapat segelintir pengguna yang bertindak membuang sampah di bawah rimbunan pokok di taman berkenaan.

Seorang pengunjung, Zarina Zainal Abidin, 48, berkata, sikap sesetengah pengunjung yang membawa makanan ke taman itu amat mengecewakan apatah lagi bagi mereka yang tidak mempunyai kesedaran mengenai kebersihan.

“Sepatutnya mereka gunakan tong sampah yang disediakan. Saya kecewa dengan sikap orang yang membuang sampah di merata-rata tempat,” katanya.