Pengarahnya, Datuk Zahari Ibrahim berkata, pada hari itu juga, satu perjumpaan akan diadakan oleh pihaknya bersama kerajaan negeri, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan wakil masyarakat Orang Asli.

Katanya, pihak jabatan juga telah menghantar pegawai untuk membuat tinjauan menyeluruh bagi mengkaji dakwaan dan keluhan segelintir masyarakat Orang Asli yang membuat sekatan itu.

"Agensi lain juga akan melaporkan analisis atau pemerhatian mereka tentang isu sekatan ini seperti yang diminta kerajaan negeri.

"Pada permulaannya kita mempunyai sedikit masalah apabila Orang Asli menghalang pihak penjawat awam untuk masuk bagi meninjau kemusnahan alam sekitar yang didakwa mereka itu.

"Bukan sahaja pihak Jabatan Perhutanan, tetapi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga dihalang. Namun, mereka sudah membenarkan orang kita masuk tetapi ada syarat iaitu perlu tulis nama," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mengikuti Lawatan Kerja Ketua Pengarah Perhutanan, Datuk Nor Akhiruddin Mahmud ke ladang hutan milik KLC Forest Plantation Berhad di Kampung Pulai, di sini hari ini.

Zahari juga berkata, permit pembalakan yang dikeluarkan oleh pihaknya setakat ini mengikut prosedur biasa dan perundangan yang sedia ada.

Katanya, pihaknya dan kerajaan negeri juga menyambut baik cadangan kerajaan persekutuan yang mahukan mereka mengkaji balik mengenai aktiviti pembalakan dan perladangan di kawasan Orang Asli. - UTUSAN ONLINE