Pengarahnya, Ruslan Ludin berkata, prasarana baharu itu melibatkan penyediaan kemudahan internet dan gajet yang diperlukan di setiap perpustakaan termasuk di kawasan desa secara berperingkat.

Menurutnya, langkah tersebut bertujuan menyampaikan maklumat dan ilmu dengan kaedah moden selain menyediakan bahan bacaan berbentuk buku.

“Pihak perbadanan akan menyediakan kemudahan asas yang lebih baik untuk memberi keselesaan kepada pengunjung perpustakaan awam dalam usaha memupuk tabiat masyarakat menimba ilmu pengetahuan dan mencari maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap dalam majlis sambutan MalaysiaKu Gemilang di Perpustakaan Awam Daerah di sini, semalam.

Roslan berkata, perpustakaan awam di kawasan pedalaman seperti di Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli akan turut menerima pembaharuan sama.

“Kemudahan itu akan melengkapkan kemudahan sedia ada di samping menarik minat masyarakat agar terus mengunjungi perpustakaan di kawasan masing-masing bagi mendapatkan pelbagai maklumat dan ilmu pengetahuan lebih tepat termasuk kemudahan e-buku yang bakal disediakan.

“Kita berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh segenap lapisan masyarakat terutama pelajar sekolah apabila perpustakaan awam di negeri ini dikunjungi kira-kira 200,000 orang sepanjang tahun lalu,” ujarnya.

Tambahnya, mulai tahun ini, pustakawan akan turun padang untuk menyebarkan maklumat dan memberi perkhidmatan secara bergerak selain menjalankan kempen mengamalkan tabiat membaca serta berkunjung ke gedung ilmu.