Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, hakikat sebenarnya, teroris ini ada di mana-mana sahaja dan boleh mewakili mana-mana puak atau golongan apabila mereka bersikap melampau.

Katanya, apa yang pasti, kejadian ini adalah satu peristiwa yang sangat menyayat hati umat Islam di seluruh negara.

“Peristiwa yang berlaku ini telah menafikan tuduhan sebelum ini, jadi tidak boleh kaitkan teroris dengan hanya kepada orang islam,” katanya ketika ditemui pada Program Masjid di Hati dan Perasmian Masjid Al-Hassan , Kampung Surau di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shukri turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan insiden yang tidak berperikemanusiaan ini.

“Saya percaya, seluruh dunia mengutuk sekeras-kerasnya kejadian ini.

“Kepada umat islam, kita perlu bersatu padu dan menerima apa yang berlaku ini sebagai takdir Allah dan mengambil sikap penuh kesabaran dan bijaksana,” katanya.

Tambah beliau, umat Islam juga diminta supaya tidak mengangap masjid sebagai tempat yang tidak selamat setelah insiden seperti ini berlaku.

“Kita sebenarnya perlu berlindung di bawah pelindungan Allah dan masjid ini seharusnya dijadikan sebagai tempat melindungi dan tempat yang aman untuk umat Islam.

“Malah peristiwa ini juga sekali gus mengingatkan orang Islam supaya berhati-hati dalam menjalani kehidupan,” katanya.- UTUSAN ONLINE