Fatimah Sulaiman, 70, yang kematian suami 13 tahun lalu menguruskan anak sulungnya, Mohd. Azizi Abas, 39, yang hilang keupayaan bergerak dan berjalan akibat kemalangan jalan raya lapan tahun lalu.

Kehidupan anak sulung daripada empat beradik itu yang ceria mula berubah selepas terlibat kemalangan kereta di Triang, Pahang pada tahun 2012.

Lebih menyedihkan Mohd. Azizi telah ditinggalkan oleh isteri dan dua anaknya tanpa khabar berita selepas kemalangan itu.

Selepas peristiwa itu, Fatimah telah menguruskan kehidupan seharian Mohd. Azizi termasuklah membersihkan diri serta memberi makan.

Fatimah yang mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi berkata, mereka hanya bergantung kepada wang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Mohd. Azizi sebanyak RM350 sebulan.

Katanya, bantuan kewangan itu tidak mencukupi apabila mereka berlapar kerana kehabisan wang untuk membeli beras dan keperluan dapur.

MOHD. Azizi Abas
MOHD. Azizi Abas 

“Hari ini kami sudah dua hari terpaksa mengikat perut kerana kehabisan wang belanja.

“Duit yang diberikan oleh pihak JKM hanya cukup makan untuk membeli lampin pakai buang dan susu Mohd. Azizi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Fatimah berkata, kudratnya tidak seberapa kerana sudah berusia, namun sebagai ibu dia akan terus menjaga Mohd. Azizi sehingga akhir hayat.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Fatimah di talian 018-9049619 atau akaun Bank Islam miliknya, 03-063-02-035427-3. - UTUSAN ONLINE