Hari ini, Utusan Malaysia kembali ke lokasi tersebut dan hasil tinjauan mendapati rumah tersebut terbiar kosong dipenuhi sampah sarap.

Malah menurut jiran-jiran sejak berita itu didedahkan oleh media, wanita yang dikenali sebagai Ida telah berpindah manakala anak-anaknya dipercayai di bawah jaga­an Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Seorang penduduk yang tinggal di hadapan rumah tersebut, Mariani Mat, 49, mendakwa Ida kini dikatakan melakukan kerja yang tidak bermoral untuk mencari rezeki.

“Suatu malam, saya hendak pergi ke KB Mall dan terserempak dengan Ida di lorong Kg. Limau Manis. Masa itu, dia cantik berbaju kurung dan agak seksi.

“Kawasan itu memang dikenali oleh penduduk di sini sebagai sarang pelacuran dan saya dapat tahu dia tinggal bersama dengan 'mak nyah' di lorong tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Paloh, Pintu Geng di sini hari ini. Akhbar pada 8 Oktober tahun lalu melaporkan seorang ibu tunggal yang dipercayai penagih dadah membiarkan anak-anaknya yang berusia antara dua hingga 14 tahun dalam kea­daan tidak terurus serta tinggal dalam timbunan sampah.

Mengulas lanjut, Mariani berkata, dia pernah melihat Ida me­nunggang motosikal dan melalui di hadapan rumah usang tersebut.

“Sebelum dia berpindah ke Kg. Limau Manis, suami saya pernah terserempak dengannya di Pengkalan Kubor," katanya.

“Masa dia duduk sini dahulu, orang kampung memang tahu dia penagih dadah tegar dan tinggal gelap-gelita tanpa bekalan eletrik di rumah itu,” jelasnya.