Rumah yang berbumbung atap zink dan berlantaikan tanah itu terlalu berisiko untuk didiami berikutan air hujan sentiasa membanjiri rumah di samping risiko keha­diran binatang buas kerana terdapat ba­nyak lubang.

Malah, rumah yang terletak di Kampung Pulau Tukang Dollah, Pengkalan Chepa di sini itu hanya mempunyai sebuah bilik tidur dan bilik mandi tanpa tandas.

Lebih memilukan, Siti Norafizah Hussein, 33, pernah mengalami kemalangan sehingga lima besi ditanam dalam tubuhnya sekarang.

Wanita cekal yang meraih pendapatan harian sebanyak RM30 sehari itu menjual kuih-muih, kera­bu dan lauk-pauk dari rumah ke rumah sepanjang bulan Ramadan ini.

“Kadang-kadang, ada juga saya tolong jualkan barang makanan orang lain. Alhamdulillah, setiap kali keluar berniaga, barang jualan pasti habis dibeli penduduk kampung.

“Kalau hendak harapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan memang tidak cukup. Malah, saya juga banyak kali memohon bantuan zakat di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) tetapi tidak pernah lulus,” luah­nya.

Dia ditemui di rumahnya selepas menerima kunjungan wakil Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi); Pengarah Jualan dan Pemasaran, Hotel Grand Riverview (GRV), Raja Rusmin Raja Mahmud dan Kelantan Creative TV (KCTV) di sini kelmarin.

Kemudi, Hotel GRV dan KCTV yang bekerjasama menganjurkan program Kita Kongsi turut meng­hulurkan sumbangan keperluan asas kepada keluarga tersebut.