Wanita berusia 48 tahun yang dikenali dengan nama ‘Kak Za’ itu disahkan menghidap HIV pada bulan Jun 2012 selepas menjalani ujian saringan penyakit yang digeruni itu.

Apa yang membuat naluri Kak Za meruntun sedih adalah pemeriksaan kesihatan itu dijalankan kerana niatnya untuk membina mahligai baharu dengan seorang lelaki budiman namun hasrat itu terpaksa dibatalkan.

“Sebaik sahaja mendapat keputusan ujian saringan, saya sendiri yang meminta perkahwinan dibatalkan kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

“Bakal suami ketika itu tidak bersetuju malah bersungguh-sungguh menyatakan mahu menjaga saya sebagai isterinya sehingga sembuh tetapi itu sudah tentu perkara yang mustahil.

“Saya tekad untuk meneruskan hidup sendiri bersama anak-anak dan berjuang menghadapi penyakit ini dengan sisa masa yang ada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Kak Za yang mengambil upah menjahit menerima kunjungan daripada rombongan Ketua Wanita UMNO Pengkalan Chepa, Zarina Md Eusope dan Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi), Mohd. Zailani Abd. Rahman.

Semasa lawatan itu, Zarina memberi komitmen untuk membantu membina pagar jerisi besi di hadapan rumah wanita berkenaan bagi menjamin keselamatan mesin jahit yang menjadi punca rezekinya. - UTUSAN ONLINE