Suri rumah, Norlia Muda, 46, berkata, anak ketiganya daripada empat beradik, Badriz Iskandar Abdul Aziz, 16, disahkan menghidap penyakit jarang jumpa iaitu mucopolysaccharidosis jenis ke­ dua (MPS II) atau sindrom hunter yang mengakibatkan tumbesarannya terbantut ketika berusia 9 tahun.

Katanya, selepas beberapa bulan penyakit dikesan, anaknya menjalani beberapa pembedahan termasuk pada kantung zakar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

“Anak saya dilahirkan normal tetapi semasa berusia 4 tahun, dia mula mengalami masalah angin pasang dan kantung zakarnya pernah membengkak sebesar buah kelapa.

“Biarpun hanya belajar di kelas pendidikan khas, dia masih lagi seorang kanak-kanak aktif sebelum fizikalnya menjadi semakin lemah dan cepat letih.

“Selepas Badriz Iskandar menjalani pembedahan pada 2011, saya tidak lagi boleh mendengar dia memanggil saya ‘ma’ kerana dia berubah menjadi seperti bayi yang perlu diurus sepanjang masa, jari kaki dan tangannya membengkok dan dia tidak dapat berjalan apatah lagi memberi respon malah jika menangis pun suaranya tidak kedengaran,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pengurniaan Sumbangan Bantuan Kepada Pesakit dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Auditorium Kompleks Rawatan Harian (ACC) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini semalam.

Dia yang mewakili anaknya adalah salah seorang daripada 72 penerima sumbangan daripada Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra yang berkenan mengurniakan bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Pada majlis itu, Norlia mendapat bantuan susu khas bernilai RM1,971 bagi tempoh setahun untuk kegunaan anaknya yang bakal disalurkan melalui unit kebajikan HUSM.

Sementara itu, wanita ini berkata, suaminya, Abdul Aziz Shafien, 49, bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan antara RM100 hingga RM200 seminggu sahaja, namun mereka bersyukur kerana sewa rumah sebanyak RM220 sebulan ditanggung oleh seorang penderma.

“Tiga lagi anak kami iaitu Fatin Najwa, 19, sedang mengikuti pengajian Diploma Kejururawatan di sebuah kolej, Fitri Qistina, 18, menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Aidil Hariri, 11, berada di tahun lima di Sekolah Kebangsaan (SK) Pa' Pura, Bachok.

“Kami menerima bantuan RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan RM100 sebulan daripada Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-kanak (PEKA) HUSM dan sebelum ini pernah menerima sumbangan tahunan RM1,000 hingga RM1,200 daripada Maik,” katanya.