Lima wartawan akhbar itu termasuk dari Kosmo! dan jurugambar memenangi tempat pertama, kedua dan ketiga bagi kategori Laporan Berita Am Terbaik; Laporan Khas Terbaik; Rencana Terbaik; Berita Sukan Terbaik serta Foto Terbaik.

Wartawan Utusan Malaysia, Zaain Zain memenangi tempat pertama kategori Berita Am Terbaik menerusi laporan bertajuk Jaja Nama Sultan manakala Muhammad Firdaus Hassan dari akhbar Kosmo! mengungguli tempat kedua menerusi laporan bertajuk Wanita Meroyan Curi Bayi Di Hospital.

Bagi Laporan Khas Terbaik, Azran Fitri Rahim bersama Zaain serta Yatimin Abdullah di tempat kedua menerusi laporan bertajuk Sisi Gelap Muzik Kelantan dan Mohd. Hafiz Abd. Mutalib menerusi laporan bertajuk Industri Batik Semakin Pupus di tempat ketiga.

Kecemerlangan Utusan Malaysia pada malam Anugerah Kewartawanan Kelantan 2017 itu diteruskan apabila wartawan sambilan, Asma Hanim Mahmood serta Yatimin ma­sing-masing menduduki tempat ketiga bagi kategori Rencana Terbaik dan Berita Sukan Terbaik.

Jurugambar sambilan Utusan Malaysia, Mohd. Zuharman Mohamad pula menduduki tempat kedua bagi kategori Foto Terbaik menerusi gambar Perjalanan Terakhir Tujuh Keluarga.

Kejayaan itu membolehkan wartawan Utusan Malaysia, Kosmo dan jurugambar akhbar berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai masing-ma­sing bernilai RM1,000, RM700, RM400 berserta trofi dan sijil penghargaan.

Lebih 100 penyertaan untuk tujuh kategori yang dipertan­dingkan itu diadili oleh juri profesional terdiri daripada ahli akademik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Shah Alam, Selangor.

Majlis anugerah kali ketiga bagi mengiktiraf media Kelantan tersebut dianjurkan oleh Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri.