Pekeliling mengenai arahan tersebut yang telah diedarkan ke seluruh pejabat-pejabat kerajaan negeri berkuatkuasa 27 Mei dan ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.

Menurut arahan tersebut, kedua-dua individu berkenaan dilarang memasuki Kompleks Kota Darulnaim dan semua pejabat kerajaan negeri.

Mereka juga dilarang masuk tanpa kebenaran ke semua enam istana di negeri ini iaitu Istana Balai Besar, Istana Negeri Kubang Kerian, Istana Telipot, Istana Kota Lama, Istana Tumpat dan Istana Persinggahan Gua Musang.

Nazran ketika mengesahkan perkara tersebut berkata, larangan itu dibuat selepas menerima arahan daripada pihak istana.

“Sebabnya tidak dinyatakan dan saya hanya bertindak mengikut arahan. Setakat ini, hanya nama mereka berdua sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wan Abdul Rahim ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu manakala Husam pula tidak menjawab mesej dan panggilan telefon.

Pada Februari lalu, Sultan Muhammad V berkenan menarik balik gelaran Datuk serta pingat yang dianugerahkan kepada Husam dan Wan Abdul Rahim tanpa dinyatakan sebab. - UTUSAN ONLINE