Presiden Kelab Pemilik Motosikal Goldwing Kelantan (Kelantan Wingers), Mohd Azhar Mat Jusoh berkata, program anjuran kelab itu dijangka disertai perserta Turki, China dan Brunei.

Beliau berkata, setakat ini seramai 165 peserta mengesahkan kehadiran bagi menjayakan program kali kedua itu.

“Hasil perbincangan awal, program yang akan diadakan selama tiga hari bermula 12 Julai ini, diselitkan dengan pelbagai program bersama komuniti.

“Antara program tersebut ialah menyampaikan sumbangan kepada pelajar tahfiz dan mengenali kawasan tumpuan pelancong seperti zon bebas cukai,” katanya, selepas Majlis Perlancaran Himpunan Motosikal Goldwing Wingers Antarabangsa, semalam.

Program tersebut dilancarkan oleh Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim dan turut dihadiri Penasihat Eksekutif kelab itu, Datuk Zailan Mohamed.

Mohd Azhar yang juga Ketua Pengarah Sekretariat Himpunan berkata, matlamat program ini adalah untuk meningkatkan pepaduan dalam kalangan peminat motosikal khususnya bagi memberikan kesedaran berhubung aspek keselamatan dan tanggungjawab semasa menunggang.

“Secara tidak langsung, ia akan menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan, sekaligus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri,” katanya. - UTUSAN ONLINE