Masir Kujat

Timbalan Menteri Da­lam Ne­geri, Masir Kujat berkata, sejak 2015 hingga tahun lalu, sebanyak 120 kes HIV direkodkan di Kelantan dengan 90 daripadanya di­sebabkan seks rambang manakala 30 lagi berpunca menerusi hubung­an sejenis.

“Kita dapati trend gejala homoseksual dan seks rambang di negeri ini semakin meningkat. Ini adalah trend baharu terutama melibatkan masalah homoseksual yang sebelum ini jarang berlaku di Kelantan.

“Kita dapati terdapat beberapa faktor antaranya gaya hidup bebas dan negeri ini terletak di kawasan sempadan yang memudahkan masyarakat berhibur di negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) pe­ringkat negeri Kelantan 2017 di sini hari ini.

Yang turut ha­dir, Pengarah Ja­batan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapa dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak 11,663 kes HIV dicatatkan di negeri ini sejak tahun 2000 hingga tahun lalu dengan jumlah penghidap yang meninggal dunia akibat HIV atau AIDS mencecah 2,255 orang.

“Agensi-agensi terlibat de­ngan kerjasama semua pihak akan terus mempertingkatkan usaha untuk memerangi masalah tersebut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah penagih dadah dalam kalangan masyarakat di negara ini menunjukkan peningkatan daripada 26,668 orang pada tahun 2015 kepada 30,847, tahun lalu.

Katanya, kes membabitkan penagih baru juga dikesan me­ningkat daripada 20,281 kepada 22,925 penagih dalam tempoh dua tahun tersebut.

“Trend penagihan dadah yang didapati meningkat ini cu­kup merisaukan walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk meme­rangi dadah secara habis-habisan,” katanya.