Wanita tersebut, Norhaslina Ibrahim, 40, yang juga Pegawai Khidmat Pelanggan di Pejabat Kesihatan Kota Bharu berkata, suaminya, Raja Hussin Suhaimi Raja Mat, 49, dulu merupakan Penolong Penguasa SPRM negeri.

Dia hilang pekerjaan selepas dikenakan tindakan tatatertib atas alasan tidak hadir bertugas kerana menderita sakit tulang belakang.

Norhaslina berkata, suaminya menerima surat dibuang kerja pada Jun 2011 dan sejak itu dialah yang menanggung keluarga termasuk rawatan untuk suami dan keperluan empat anak berusia sembilan hingga 15 tahun.

“Sebelum ini kami tinggal di Pasir Mas kemudiannya saya ditukarkan ke Kota Bharu pada 2012.

“Pada mulanya kami masih mampu bertahan dengan simpanan suami dan ditampung gaji bersih saya sebanyak RM1,200 sebulan tetapi sejak beberapa tahun ini kehidupan makin sempit lebih-lebih lagi apabila anak memasuki sekolah menengah.

“Sejak beberapa bulan lalu bekalan air ke rumah kami sudah dipotong manakala bekalan elektrik pula tertunggak hampir RM1,000,” katanya ketika ditemui semasa lawatan Skuad Sayang Wanita UMNO diketuai Ketua Wanita UMNO Pengkalan Chepa, Zarina Md Eusope di rumahnya di Kuarters Klinik Kesihatan Kota Jembal di sini hari ini.

Sementara itu, Raja Hussin berkata, dia rasa teraniaya kerana dibuang kerja selepas lebih 10 tahun bertugas tanpa dipanggil menghadap untuk membela diri.

Menurutnya, dia mendapat surat cuti sakit selama dua bulan dari tempoh 23 Januari 2011 hingga 23 Mac 2011 dari Klinik Kesihatan Bandar Pasir Mas kerana masalah ‘slip disc’ tetapi SPRM tetap menghantar notis tunjuk sebab tidak hadir bertugas.

“Kemudiannya pada pertengahan tahun itu saya sah diberhentikan kerja melalui surat dari ibu pejabat SPRM malah gaji saya sebenarnya ditahan sejak bulan Februari 2011 lagi.

“Saya bukan hendak menyalahkan sesiapa tetapi saya rasa teraniaya kerana sehingga hari ini tidak mendapat penjelasan kukuh mengapa dibuang walaupun sudah banyak kali turun naik ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya,” katanya.

Dalam pada itu, Zarina berkata, pihaknya akan cuba membawa masalah dihadapi keluarga ini melalui saluran yang betul supaya mendapat perhatian sewajarnya.

Sementara itu, Utusan Malaysia masih sedang berusaha mendapatkan maklum balas terhadap kes Raja Hussin daripada SPRM negeri. - UTUSAN ONLINE