Mudirnya, Mohd. Khairudi Mohd. Alwi berkata, malah pihaknya turut menjadikan kemahiran mengurus taman dan landskap sebahagian kurikulum yang mesti dipelajari warga pondok selain menadah kitab dan menghafaz al-Quran.

Beliau berkata, pada setiap tahun pihaknya menganjurkan pertandingan pondok inspirasi tradisional klasik yang melibatkan kreativiti warga pondok menghasilkan hiasan taman dan dekorasi yang menarik.

“Langkah ini banyak membantu menjadikan Pondok Ihya Ulumuddin terserlah sebagai pondok dalam taman yang dihiasi dengan kehijauan pokok dan dekorasi barangan klasik.

“Suasana ini memberi kete­nangan jiwa kepada warga pondok dan pengunjung,” katanya ketika ditemui pada pertandingan keceriaan pondok musim ketiga, di sini baru-baru ini.

Mohd. Khairudin berkata, pa­nel hakim dari luar dijemput untuk menilai setiap asrama penginapan untuk mencari kumpulan penghuni menjuarai pertanding­an itu.

“Tema pertandingan kali ini ia­lah kitar semula yang melibatkan kreativiti menghasilkan pelbagai bahan daripada batang buluh dan bahan terbuang. Panel hakim juga turut menilai kekemasan dalam kediaman yang diuruskan oleh penghuni pondok.

“Pada pertandingan kali ini, ibu bapa pelajar turut dibenarkan membantu mengindahkan sekitar pondok dalam usaha menge­ratkan hubungan dua hala dan memupuk semangat bergotong-royong,” katanya.

Katanya, aktiviti seumpama itu adalah tradisi tahunan untuk menjalinkan silaturahim dan menghayati pengorbanan, kesungguhan serta kesusahan ulama-ulama terdahulu dalam membangunkan sistem pengajian secara pondok yang kekal sehingga sekarang.

“Besar harapan kami agar dapat mengikis tanggapan negatif masyarakat terhadap institusi pe­ngajian pondok. Walaupun ma­sih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki, ia bukan menjadi ha­langan untuk pondok ini menganjurkan amalan yang fokus kepada kebersihan menerusi hiasan laman dan kreativiti,” katanya.

Menurutnya, Majlis Makan dan Amal Silaturahim akan diadakan di pekarangan surau pon­dok berkenaan pada 28 Oktober ini dalam usaha merapatkan hu­bung­an antara warga pondok dan masyarakat setempat untuk berganding bahu membangunkan syiar Islam.