PASIR MAS 26 Okt. - Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jarum di sini mengambil langkah proaktif dengan menghias kawasan surau Surau Az-Zikri dengan landskap serta replika Kaabah bagi menarik murid mendampingi rumah ibadat itu.
Guru Besarnya, Zukri Suzita Yaso berkata, pihaknya turut membina beberapa sudut seperti pameran Islamik bagi menambahkan minat murid untuk berada di surau sekolah itu.
Beliau berkata, langkah itu mendapati sambutan yang menggalakkan daripada murid yang meluangkan masa waktu rehat di kawasan tersebut.
“Mereka rasa selesa untuk berada di surau malah ketika waktu zohor, murid ini memenuhi ruangan surau untuk solat berjemaah.
“Bagi sudut pameran Islamik, kita sentiasa mengubah konsepnya mengikut tema setiap bulan supaya murid tidak cepat bosan,” katanya di sini baru-baru ini.
Zukri Suzita berkata, bagi mengimarahkan lagi surau tersebut, pihak sekolah turut mengadakan aktiviti seperti simulasi tawaf dan beberapa lagi program menarik lain.
Mengulas lanjut mengenai pengubahsuaian surau tersebut katanya, ia merupakan idea guru dan mereka sendiri yang melakukan semua kerja mengecat, melukis, dan menghias.
Katanya, SK Bukit Jarum beruntung apabila mendapat kerjasama dan sokongan terbaik daripada ibu bapa murid.
“Kebanyakan pokok bunga, simen dan kerja-kerja membersih dilakukan oleh ibu bapa secara sukarela bagi melihat persekitaran surau cantik,” katanya.