Pada awalnya perniagaan yang diusahakan oleh Azlina Wahab, 50, yang tinggal di Taman Wangi di sini dilakukan secara kecil-kecilan untuk memenuhi permintaan ahli ke­luarga dan kenalan rapat, namun kini semakin berkembang apabila mendapat tempahan dari seluruh negara.

Katanya, produk bantal dan tilam bayi berasaskan kekabu masih menjadi pilihan di pasaran kerana rekaannya yang unik dan berkualiti.

“Keistimewaan bantal dan tilam kekabu ialah dapat menyejukkan badan dan memberi keselesaan ketika tidur.

“Selain menghasilkan bantal dan set tilam bayi dengan pelbagai corak yang menarik, saya turut membuat bantal karipap yang nipis serta lembut sesuai untuk bayi yang baru lahir. Dalam sehari, saya mampu menghasilkan 100 biji bantal,” katanya di sini hari ini.

Azlina yang telah membabitkan diri dalam bidang itu lebih 10 tahun lalu berkata, dia berdepan kesukaran untuk mendapatkan kekabu yang berkualiti di jajahan ini.

Katanya, dia terpaksa mendapatkan kekabu daripada beberapa pengusaha di sekitar Kota Bharu.

“Selain menjalankan perniagaan atas talian, produknya berasaskan isi kekabu turut dijual di pasar malam.

“Bagi menjalankan perniagaan itu, saya mengeluarkan modal permulaan sendiri seba­nyak RM2,000. Saya turut mendapat bantuan daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Amanah Ikhtiar Malaysia dan Risda,” katanya.

Bagaimanapun, Azlina meng­harapkan bantuan mesin jahit baharu bagi melancarkan pro­ses menghasilkan lebih banyak sarung dan bantal kekabu.

“Saya menjual bantal bayi bermula harga RM5 sehingga RM25 mengikut jenis saiz,” katanya.