Pengerusi Jawatankuasa Kebu­dayaan, Pelancongan dan Wari­san negeri, Datuk Md. Anizam Abd. Rahman berkata, sehingga kini, terdapat kira-kira 50 orang pengayuh beca di bandar ini yang masih lagi aktif.

Beliau berkata, kebanyakan pengayuh beca atau ‘gatih teksi’ itu adalah golongan yang telah ber­usia yang hanya mengekalkan kerja tradisi itu untuk meneruskan hidup biarpun ada yang berumur 85 tahun.

“Pekerjaan ini merupakan satu pekerjaan yang tertua di Kelantan tetapi semakin luput ditelan zaman. Saya berharap ada di kala­ngan belia muda yang berminat untuk menyambung tradisi ini.Pekerjaan ini juga mampu menjamin kehidupan mereka.

“Pekerjaan ini masih relaven sehingga kini dan aktif digunakan oleh pelancong luar setiap kali datang ke negeri ini kerana di Kelantan sahaja masih aktif penggunaan beca berbanding negeri luar,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Md. Anizam berkata, golongan muda tidak boleh melihat dari prespektif yang sempit mengenai kerjaya ini kerana ia mempunyai potensi yang amat besar.

Katanya, negeri ini menerima lebih daripada 2 juta pelancong setahun dan beca akan menjadi salah satu tarikan utama sekiranya diberikan tambah nilai.

“Golongan muda kita kreatif, dan mereka boleh gunakan kele­bihan untuk menambah baik beca bagi menarik perhatian pelancong.

“Kerajaan negeri sentiasa me­rangka program kebajikan khusus untuk penarik beca antaranya insurans berkelompok kepada mereka, ini supaya kehidupan mereka lebih terjamin dan usaha ini juga sudah berada di peringkat akhir,” katanya.